Logo Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menyambut baik dan menyokong penuh agenda One Higher Education Act (OHEA) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mewujudkan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif untuk mentransformasikan ekosistem pengajian tinggi negara.

UPNM berkata, agenda berkenaan yang berteraskan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 merupakan langkah progresif dan strategik bagi memastikan institusi pengajian tinggi kekal relevan, dinamik serta berdaya saing di peringkat global.

Menurutnya, penggubalan akta baharu itu bukan sahaja perlu memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan pemerkasaan suara mahasiswa, malah memastikan aspek tadbir urus serta akauntabiliti universiti terus dipelihara.

“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang mempunyai niche strategik dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara, UPNM bersedia untuk terlibat secara aktif serta memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siri sesi libat urus, perbincangan meja bulat dan jawatankuasa penggubalan yang bakal dianjurkan KPT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

UPNM turut menyatakan kesediaan untuk menyumbangkan pandangan konstruktif selain kepakaran akademik dan perundangan strategik bagi membantu pembentukan kerangka perundangan baharu yang inklusif, mantap dan holistik.

UPNM yakin pendekatan inklusif yang diterajui KPT itu mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan berintegriti, berdaya tahan dan beradab tinggi.

Katanya, usaha berkenaan seterusnya dapat melahirkan graduan yang mampu menyumbang secara holistik kepada pembangunan negara selain mempertahankan kedaulatan Malaysia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here