BUKIT MERTAJAM – Tiga lelaki warga Nepal yang terperangkap di atas ‘awning’ tingkat dua sebuah rumah kedai selepas menyelamatkan diri daripada kebakaran, berjaya diselamatkan pasukan bomba di Jalan Pasar di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, ketiga-tiga mangsa masing-masing Denish, 36; Lalman, 37; dan Ganesh Chand, 29, berjaya dikeluarkan dengan selamat pada jam 7.19 pagi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran rumah kedai itu pada jam 7.01 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan dua unit rumah kedai dua tingkat dengan anggaran keluasan 20 x 40 kaki bagi setiap unit.
“Ketika pasukan tiba, tiga mangsa terperangkap di atas awning di tingkat dua bangunan berkenaan.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 40 peratus bagi setiap unit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.42 pagi dan operasi diteruskan dengan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi.
“Operasi ditamatkan pada jam 10.13 pagi sebelum lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















