KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) meluluskan dasar baharu kepada semua pengusaha dewan makan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kolej MARA yang mendapat kontrak daripada agensi tersebut.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dasar baharu itu wajib mengutamakan pembelian bahan mentah daripada usahawan Bumiputera yang digunakan dalam penyediaan makanan di dewan makan terbabit.
Menurut beliau, ia termasuk keperluan seperti ayam, ikan, kicap, sos dan barangan berkaitan yang mana nilai kontrak bagi setiap MRSM secara purata antara RM7 juta hingga RM9 juta untuk tempoh dua tahun.
“MARA meluluskan dasar baharu, (yang mana) semua pengusaha dewan makan MRSM, Kolej MARA mendapat kontrak MARA wajib mengutamakan barang mentah seperti ayam, ikan, kicap, sos dan lain-lain hanya daripada usahawan Bumiputera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, media melaporkan aduan berkaitan kualiti makanan di dewan selera MRSM kini semakin berkurangan selepas tindakan tegas diambil bagi memecahkan kumpulan kartel yang didakwa menguasai kontrak makanan institusi berkenaan.
Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, usaha itu dilakukan termasuk menerusi pemeriksaan mengejut atau ‘terjah’ ke MRSM selepas menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar sejak beliau diberikan amanah menerajui agensi itu tiga tahun lalu. – MalaysiaGazette
















