BENTONG – Polis sudah merakam keterangan seorang lelaki yang didakwa memandu kereta melawan arus di Jalan Bentong-Karak, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kes itu masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis Bentong mengambil tindakan susulan selepas menerima dan meneliti satu rakaman video yang tular di media sosial berkaitan sebuah kenderaan yang dipercayai dipandu melawan arus di Jalan Bentong-Karak.
“Rakaman video tular itu memaparkan sebuah kereta jenis Proton Iriz yang dipercayai bergerak dari arah Simpang Majlis Perbandaran Bentong (MPB) sebelum memasuki laluan bertentangan melalui jambatan Kampung Baru,” katanya dalam kenyataan.
Hasil tindakan yang dijalankan, pegawai polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bentong telah pergi ke kediaman individu berkenaan pada jam 4 petang semalam bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan.
Katanya, individu berkenaan kemudiannya telah dibawa ke BSPTD Bentong bersama kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular klip video berdurasi 55 saat memperlihat sebuah kereta dipandu perlahan, tidak bergerak lurus dalam laluannya menyebabkan pemandu lain terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing.
Kereta itu kemudian dilihat meneruskan perjalanan namun memasuki laluan bertentangan.
Namun, tiada kemalangan dilaporkan susulan tindakan individu terbabit. – MalaysiaGazette
















