MUAR – Dua lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh kediaman dan mencuri jam tangan pada Mei hingga Julai lalu.
Tertuduh, Jamal Hussin Jalal, 30, dan Ramzan Ali Ali, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Muhammad Faizzudin Abd Ra’fik.
Jamal Hussin yang bekerja sebagai pemasang pendingin hawa didakwa atas tiga pertuduhan menceroboh kediaman di Taman Sungai Abong Permai, Taman Temiang Jaya dan Taman Pertama Indah, Muar, masing-masing pada 30 Mei, 19 Julai dan 21 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 448 dan 447 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ramzan Ali yang bekerja sebagai mekanik pula didakwa mencuri seutas jam tangan jenama Daniel Wellington milik Ng Zhi Khai di No. 23, Jalan Jaya 15/2, Kampung Jeram, Muar pada pukul 10.14 malam, 18 Julai lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Kelvinder Singh Sidhu.
Jamal Hussin dibenarkan diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan, manakala Ramzan Ali diikat jamin RM4,000 juga dengan dua penjamin warga tempatan.
Kedua-dua tertuduh yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) turut dikenakan syarat tambahan melaporkan diri dua minggu sekali di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan 22 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.- MalaysiaGazette
















