Jacob Lee Chor Kok

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menggabungkan elemen Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tertentu ke dalam kerangka Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) sedia ada, dapat membantu menangani isu seperti cukai bertindih dan tekanan kos, menurut Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok berkata, mekanisme kredit yang dirangka dengan baik dapat memastikan isu itu dapat ditangani daripada peringkat sumber atau awal dengan membolehkan cukai layak dibayar ke atas input perniagaan dituntut semula berbanding bergantung kepada pengecualian berulang serta langkah pembetulan selepas pelaksanaannya.

“Oleh itu, FMM menganggap ada merit dalam cadangan kerajaan untuk menggabungkan elemen baik GST ke dalam SST, terutama mekanisme kredit input cukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, FMM juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan mekanisme kredit cukai atau pengimbangan cukai input bagi cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang layak seperti bahan, mesin, logistik, sewaan kilang, pembinaan dan perkhidmatan perniagaan lain yang sesuai bagi mengelak cukai berkenaan menjadi kos pengeluaran kekal.

FMM mencadangkan supaya pengecualian dan pelepasan pelbagai kategori digantikan dengan mekanisme kredit atau rebat yang lebih sistematik untuk mengurangkan kesan cukai berganda di sepanjang rantaian bekalan.

Pada masa sama, FMM menggesa agar kerajaan mewujudkan mekanisme bayaran balik yang diyakini, automatik serta dalam tempoh masa wajar manakala bayaran balik lebihan kredit disahkan dibuat dengan tepat, terutama bagi pengeksport dan pengilang berintensifkan modal.

Cadangan lain adalah barangan keperluan harus dilindungi daripada cukai dalam harga melalui mekanisme berkadar sifar seperti GST atau kredit, rebat atau pembayaran balik yang setara.

Cukai jualan dan perkhidmatan yang layak dalam pengeluaran dan penghantaran barangan eksport, juga perlu boleh dikreditkan, rebat atau dibayar balik agar barangan eksport tidak menanggung beban cukai domestik, sekali gus memastikan daya saing produk Malaysia.

Selain itu, FMM berpendapat, infrastuktur e-Invois perlu dimanfaatkan bagi menyokong proses pengesahan, transaksi lebih telus dan mengelak sebarang penipuan.

FMM juga menekankan, kepentingan untuk melibatkan persekutuan berkenaan serta badan industri lain sejak dari peringkat awal kajian, reka bentuk, pelaksanaan dan peralihan yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kerangka terbabit kekal berkesan di sepanjang sektor berkaitan.

“Kami (FMM) menyambut baik hasrat kerajaan untuk mengekalkan SST sebagai asas sistem (cukai) itu pada masa ini. Jika pendekatan ini dikekalkan, keutamaannya adalah untuk menerapkan elemen GST yang dapat menghalang cukai ke atas input perniagaan daripada terkumpul di sepanjang rantaian bekalan.

“Ini khususnya kredit cukai input, layanan cukai yang berkesan terhadap barangan keperluan dan eksport serta mekanisme bayaran balik yang boleh diyakini,” kata Lee.

Pada 18 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan kerajaan untuk mengkaji cadangan menggabungkan elemen GST dengan SST bagi memastikan sistem percukaian negara yang lebih progresif.

Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata Malaysia akan mengekalkan SST sebagai sistem percukaian negara dan kerajaan tidak berhasrat mengenakan cukai secara menyeluruh pada masa ini. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here