SHAH ALAM – Polis sedang menyiasat kejadian kebakaran sebuah bengkel kenderaan di Kampung Bukit Kapar, Klang berkemungkinan bermotifkan cubaan menghapuskan bukti kegiatan meleraikan dan menjual komponen kenderaan yang dipercayai dicuri.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, siasatan terhadap aspek itu turut dilakukan bagi menentukan sama ada ia merupakan usaha melupuskan bahan bukti.
“Setakat ini kita sedang lihat ke arah aspek tersebut juga, mungkin kaedah untuk melupuskan keterangan-keterangan yang berkaitan.
“Perkara itu kita sedang siasat,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai IPK Selangor di sini, hari ini.
Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 20-an bagi membantu siasatan susulan penemuan sebuah van jenazah yang dipercayai dicuri di sebuah bengkel kenderaan terpakai di Bukit Kapar, kira-kira jam 7.20 petang, 7 Ogos lalu.
Susulan itu, seramai 20 warga asing terdiri daripada 19 lelaki dan seorang wanita turut ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di Jalan Kapar pada jam 4.30 petang, 12 Ogos lalu.
Serbuan dipercayai membongkar kegiatan sindiket meleraikan dan menjual kenderaan curi termasuk kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah syarikat pengurusan jenazah.
Mengulas lanjut, Shazeli berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan kewujudan sindiket berkenaan berikutan hanya dua warga Pakistan ditahan setakat ini.
Jelasnya, siasatan masih dijalankan dan kedua-dua suspek masih ditahan bagi membantu siasatan.
“Namun, kita juga tidak boleh menafikan berkemungkinan wujud tetapi sindiket itu mungkin di luar.
“Jadi, premis tersebut mungkin dijadikan salah satu tempat untuk sindiket lain meleraikan kenderaan terbabit,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau mengesahkan polis juga menyiasat pemilik tanah yang menyewakan premis berkenaan kepada warga asing bagi menjalankan aktiviti tersebut.
“Kita sedang siasat pemilik tanah, kenapa boleh menyewakan kepada warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette
















