KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataannya mengenai Taiwan meskipun menerima reaksi balas, dengan menegaskan pendirian China mengenai isu berkenaan selari dengan pendirian Amerika Syarikat (AS) yang tidak membenarkan mana-mana wilayahnya berpisah.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah mengamalkan Dasar Satu China sejak pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan akan terus mempertahankan pendirian itu.
“Dasar Satu China sudah diamalkan sejak Tun Abdul Razak. Pada pandangan saya, dasar itu kekal dan kita akan terus mempertahankannya.
“Sudah tentu kita mahu mencari jalan secara aman apabila boleh,” katanya kepada media selepas melancarkan TikTok Shop Summit Malaysia 2026, di sini hari ini.
Anwar turut mempertahankan perbandingan yang dibuatnya membabitkan AS dengan menegaskan beliau hanya mengambil pendirian yang konsisten berhubung soal integriti wilayah.
“Saya percaya pendirian itu betul. Seperti yang saya nyatakan, AS sendiri melalui Perang Kemerdekaan Amerika tidak membenarkan mana-mana wilayahnya berpisah.
“Jadi, saya hanya mengambil pendirian yang konsisten,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia menghormati pendirian China, namun penyelesaian secara aman kekal menjadi pendekatan terbaik dalam menangani isu berkenaan.
“Sudah tentu kita menghormati pendirian China, tetapi jalan secara aman adalah yang terbaik. Itulah yang sedang diusahakan sekarang,” katanya.
Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia itu bukan perkara baharu atau luar biasa, malah Dasar Satu China diterima dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Jika kita lihat, China diiktiraf sebagai satu negara, manakala satu lagi hanya dirujuk sebagai Taiwan. Jadi, apa yang saya nyatakan itu bukan sesuatu yang baharu,” katanya.
Menurutnya, cara isu berkenaan ditanya atau ditekankan ketika wawancara bersama Al Jazeera mungkin menjadi punca kepada reaksi balas yang diterima.
“Mungkin cara perkara itu ditanya atau ditekankan oleh Al Jazeera yang mencetuskan reaksi balas,” katanya. – MalaysiaGazette
















