KUALA LUMPUR – Kematian pelajar berusia 14 tahun, G. Keziah Nisha perlu menjadi amaran serius mengenai isu buli, tekanan emosi dan kesihatan mental dalam kalangan murid, kata Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivamalar Genapathy.
Beliau berkata, dakwaan Keziah Nisha, pelajar SMK Danau Kota berdepan buli, ejekan serta kata-kata berunsur perkauman amat membimbangkan dan perlu disiasat secara menyeluruh, telus serta adil.
Menurutnya, setiap dakwaan perlu diteliti tanpa mendahului siasatan, namun sebarang keadaan yang menyebabkan seorang kanak-kanak berasa dihina atau dipandang rendah kerana bangsa, warna kulit atau rupa paras tidak boleh dipandang ringan.
Sivamalar berkata, kematian Keziah juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas apabila beberapa tragedi membabitkan pelajar berlaku sebelum ini.
Ini termasuklah kematian pelajar perempuan Tingkatan Empat di Sungai Buloh pada Mac 2024 dan pelajar Tingkatan Satu di Kuala Lumpur pada Oktober tahun sama.
Katanya, pada November 2024, seorang pelajar berusia 14 tahun pula meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah sekolah di Jelutong, Pulau Pinang, manakala pada Julai 2025, negara dikejutkan dengan kematian Zara Qairina Mahathir, pelajar berusia 13 tahun di Sabah.
“Setiap kes mempunyai fakta dan keadaan yang berbeza dan tidak wajar semuanya diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri.
“Namun rentetan tragedi yang melibatkan anak-anak usia persekolahan, bersama isu buli, tekanan emosi dan kesejahteraan mental, merupakan amaran yang tidak boleh lagi kita abaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 turut menunjukkan 13.1 peratus remaja yang dikaji pernah mempunyai pemikiran untuk membunuh diri, 10 peratus pernah membuat perancangan dan 9.5 peratus melaporkan pernah melakukan percubaan membunuh diri.
Dalam kes Keziah, katanya, dakwaan keluarga mangsa pernah membuat aduan beberapa bulan sebelum tragedi itu juga perlu disahkan dan disiasat bagi menentukan sama ada tindakan sewajarnya telah diambil.
“Saya menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus.
“Sekiranya siasatan mendapati wujud perbuatan buli, ugutan, penghinaan berunsur perkauman atau apa-apa kesalahan di sisi undang-undang, mereka yang bertanggungjawab wajib dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Sivamalar menggesa Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membangunkan kerangka nasional berkaitan kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri murid.
Antaranya kata beliau, pengesanan awal, pengukuhan kaunseling serta sistem aduan buli yang selamat dan sulit.
“Keziah, Zara dan anak-anak lain yang telah pergi bukan sekadar statistik atau tajuk berita.
“Pencegahan mesti bermula pada aduan pertama, tanda amaran pertama dan permintaan pertolongan pertama. Kita tidak boleh menunggu seorang lagi anak meninggal dunia sebelum kita bertindak,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















