KUALA LUMPUR – Semua kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pas khususnya di Kelantan selama lebih 30 tahun didakwa bersih daripada rasuah dan salah laku walaupun dalam keadaan menghadapi tekanan kerana konsep federalisme.
Antara tekanan adalah perjanjian antara negeri dengan Persekutuan yang tidak dihormati di samping banyak haknya dinafikan termasuk terhadap ahli-ahli Parlimen pembangkang, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam sepenggal sahaja sudah kedengaran suara salah laku yang dinyanyikan. Maka pengisytiharan perangnya terhadap rasuah hanya gendang kosong yang kuat bunyinya sahaja termasuk tempikan adanya sakau yang hanya seperti makhluk ghaib yang disebut namanya namun tidak kelihatan makhluknya.
“Maka tempikan slogan perangi rasuah dan memburu sakau sampai ke lubang cacing laksana pencuri yang melepaskan diri dengan sama-sama melaungkan, “Pencuri! Pencuri!” bersama pemburunya bagi helah melepaskan dirinya,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.
Menurut Abdul Hadi, hari ini, tindakan diambil terhadap penerima rasuah sahaja malah dilakukan pula secara terpilih.
“Ada yang diambil tindakan, ada tindakan separuh jalan kerana kedudukan pangkatnya dan ada yang dibiarkan kerana lebih tinggi pangkatnya.
“Tambahan pula, ada yang difitnah kerana melawan kerajaan dan ada yang sengaja dipanjang-panjangkan masa siasatannya. Perkara ini merupakan satu kezaliman,” katanya.
Hal itu, menurut Abdul Hadi termasuk membebaskan sebahagian yang terlibat dengan rasuah atau tindakannya tidak bersifat menyeluruh.
“Semua yang salah wajib diambil tindakan, jangan melakukan tindakan yang terpilih sahaja.
“Namun begitu, dibebaskan pemberi rasuah dan orang tengah yang mengurusnya yang paling ramai dalam kalangan kartel, peniaga gelap, dan penyeludup. Mereka adalah paling ramai daripada kalangan bukan Islam yang menguasai kegiatan ekonomi dalam negara ini. Mereka melepaskan diri daripada undang-undang ciptaan manusia sehingga rasuah menjadi penyakit seluruh jasad kerajaan dari kepala hingga hujung kaki,” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi tidak menafikan adanya institusi kewangan Islam yang menyeleweng dan mengalami salah laku tetapi institusi perniagaan seperti GLC dan lain-lain yang berlipat kali ganda salah laku serta rasuahnya disembunyikan di bawah karpet.
“Maka, kesalahan Tabung Haji dijadikan tajuk utama kerana jenama Islamnya menjadi sasaran. Mereka yang berjasa menjayakan Tabung Haji adalah lebih ramai berlipat kali ganda jumlahnya namun dibesarkan segelintir yang salah laku bagi membesarkan keaiban Melayu Islam dengan niat yang jahat.
“Adapun kes terowong Pulau Pinang, bicaranya separuh jalan, kemudian diam membisu malah jarang sekali dibunyikan apabila ada suara menyebutnya,” dakwanya.
Menurut beiau, terlalu banyak institusi perniagaan milik kerajaan dan separa kerajaan yang mengalami kerugian kerana kebocoran di bawah seseorang yang disebut-sebutkan sebagai Menteri Kewangan terbaik termasuk kalangan yang berpolitik sekular yang berpisah daripada agama dengan menyalahgunakan kedudukan politik mereka.
“Golongan yang paling ramai diambil tindakan ialah pihak yang berjenama Melayu dan Islam daripada yang paling besar sehinggalah paling kecil bagi merendahkan imej Islam, seolah-olah tidak ada daripada kalangan bukan Islam dan bukan Melayu.
“Padahal kegiatan ekonomi lebih banyak daripada bukan Islam dan bukan Melayu, khususnya yang bersaiz mega yang menjadi penyumbang rasuah,” katanya.
Rasuah juga berlaku dalam pembahagian subsidi kepada kalangan miskin seperti petani dan nelayan kerana adanya kartel-kartel mega bukan Melayu yang menjadi pembekalnya.
“Mereka adalah daripada kalangan bukan Islam yang paling ramai mengambil peluang di sebalik bantuan kemiskinan yang gagal mengatasi masalah kemiskinan,” kata Abdul Hadi. – MalaysiaGazette
















