KUALA LUMPUR – Lorong kecemasan dan Smart Lane di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan antara Tapah dan Bidor ditutup sementara bermula hari ini hingga 1 November bagi membolehkan kerja menaik taraf penghadang jambatan dijalankan.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, penutupan membabitkan lorong kecemasan di Kilometer (KM) 329.0 hingga KM329.6 dan lorong Smart Lane dari KM327.0 hingga KM331.2.
Menurutnya, kerja berkenaan membabitkan penghadang jambatan di KM329.4 arah selatan dan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna lebuh raya.
“Dua lorong kanan dan kiri di laluan terbabit dibuka dan beroperasi seperti biasa kepada pengguna lebuh raya sepanjang tempoh kerja dijalankan,” katanya menerusi kenyataan.
Justeru, PLUS turut menasihatkan pengguna supaya mematuhi papan tanda keselamatan, arahan petugas dan had laju ditetapkan ketika melalui kawasan kerja.
Tambahnya, pengguna juga disaran merancang perjalanan serta mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, akaun X @plustrafik dan paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih.
“Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada PLUSLine di talian 1800-88-0000.
“PLUS menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan kerja berkenaan bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kelancaran perjalanan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















