KUALA LUMPUR – Pendirian Malaysia menerima dasar Satu China (One China Policy) tidak bermaksud negara ini menyokong sebarang tindakan ketenteraan atau peperangan terhadap Taiwan, sebaliknya kekal berpegang kepada pendekatan penyelesaian konflik secara aman.
Jelas Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, ini kerana Malaysia sejak sekian lama menerima pakai dasar Satu China sebagai sebahagian daripada pendirian dasar luar negara.
Katanya, pendirian berkenaan tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan Malaysia terhadap tindakan ketenteraan oleh China terhadap Taiwan.
“Pengiktirafan terhadap dasar Satu China ini bukanlah bermaksud Malaysia sokong tindakan ketenteraan terhadap Taiwan. Dengan dasar luar negara selama ini pun tetap menekankan penyelesaian secara aman.
“Kita tidak mendukung apa-apa tindakan secara kekerasan kepada negara atau wilayah lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas soalan wartawan Al Jazeera mengenai pendirian Malaysia terhadap isu Taiwan, Mohd Azizuddin menyifatkannya sebagai provokatif dan berpotensi mengeruhkan hubungan Malaysia-China.
“Saya rasa wartawan Al Jazeera itu provokatif, dia sahaja nak ciptakan risiko antara China dengan Malaysia.
“Saya rasa tidak ada, sebab dia tahu kita tidak akan kata kita mengiktiraf Taiwan kerana Taiwan bukan sebuah negara seperti kita mengiktiraf. Kita pun tidak ada hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan,” jelasnya lagi.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan China dan Taiwan yang didakwa menimbulkan kekeliruan terhadap dasar luar Malaysia, Mohd Azizuddin berkata pendirian negara sebenarnya jelas dan tidak berubah.
Katanya, Malaysia mengiktiraf dasar Satu China dan kedaulatan China merangkumi Taiwan, manakala sebarang isu dengan Beijing boleh dibincangkan menerusi saluran diplomatik atau ASEAN.
“Urusan kita pula dengan China memang secara terus. Kalau ada apa-apa isu kita akan gunakan saluran negara kita sendiri atau ASEAN untuk menyuarakan pandangan kepada China.
“Saya rasa itu pendekatan hubungan diplomatik yang sihat antara China,” katanya.
Menurutnya, sekiranya berlaku tindakan ketenteraan yang mencetuskan konflik, Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dan multilateral untuk menggesa konflik dihentikan.
“Kalau China buat, itu hak dia, tetapi kita akan gunakan channel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengkritik China supaya perang itu ditamatkan,” katanya.
Mohd Azizuddin berkata, pendekatan sama digunakan Malaysia dalam menangani konflik antarabangsa lain dengan menyuarakan pendirian melalui platform antarabangsa.
Beliau berkata, isu hubungan Malaysia-China termasuk berkaitan Laut China Selatan juga perlu ditangani secara diplomatik, termasuk menerusi ASEAN.
“Kalau ada apa-apa isu, kita akan gunakan saluran diplomatik negara kita sendiri ataupun menggunakan ASEAN untuk dorongkan pandangan kepada China.
“Kalau ada perkara itu berlaku, kita akan tegur China dengan baik. China sekarang ini responsif, cara responsifnya agak baik, tidak konfrontasional tetapi agak baik dengan apa yang berlaku,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Azizuddin mengingatkan supaya Malaysia mengelakkan tindakan yang boleh mengeruhkan hubungan dengan China kerana sebarang konflik di rantau ini berpotensi memberi kesan kepada ekonomi negara.
“Barat memang cuba provokatif untuk wujudkan konflik itu sebab target mereka sebenarnya nak melemahkan China. Tetapi China makin kuat.
“Kadang-kadang untuk kita pun akan terjejas kerana ia akan menjejaskan ekonomi,” katanya.
Awnar semalam berkata, Malaysia akan terus berpegang kepada Dasar Satu China meskipun kenyataannya mengenai Taiwan sebelum ini menerima kritikan daripada pelbagai pihak.
Beliau berkata, pendirian itu bukan sesuatu yang baharu kerana Malaysia telah mengamalkan dasar berkenaan sejak era pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. – MalaysiaGazette
















