KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Setiausaha Agung Majlis Hukama Muslimin, Mohamed Abdelsalam membincangkan usaha untuk memperkukuh hubungan Malaysia dengan institusi al-Azhar.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam perbualan telefon dengan Mohamed Abdelsalam malam tadi turut bertanyakan khabarnya serta menitipkan doa susulan keadaan kesihatan beliau baru-baru ini.
Dalam kesempatan sama, perdana menteri juga mengambil berat mengenai keadaan kesihatan isteri Mohamed Abdelsalam yang kini menerima rawatan di hospital.
“Saya turut bertanyakan keadaan kesihatan isteri beliau yang kini menerima rawatan di hospital dan mendoakan agar dikurniakan kesembuhan serta keafiatan segera, insya-Allah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasmi Anwar, hari ini.
Menurut Anwar, perbincangan mereka kemudiannya menjurus kepada hasrat Imam Besar al Azhar al Sharif, Prof. Dr. Ahmad Muhammad al-Tayyeb untuk kembali mengunjungi Malaysia.
Hasrat berkenaan, katanya, turut membuka ruang kepada beberapa ikhtiar baharu dalam mempererat hubungan antara Malaysia dan al-Azhar, selain memperkukuh kerjasama dalam bidang keagamaan dan pemikiran Islam.
“Selain itu, kami menyentuh hasrat Prof. Dr. Ahmad al-Tayyeb untuk kembali mengunjungi Malaysia, di samping beberapa ikhtiar baharu.
“Antaranya dalam memperkukuh hubungan Malaysia dengan al-Azhar serta menyuburkan gagasan Islam yang sederhana, bebas dan berwibawa,” katanya.
Anwar berkata, hubungan erat dengan al-Azhar dan Majlis Hukama Muslimin penting dalam memperkukuh pendekatan Islam yang menekankan keseimbangan, keterbukaan serta kewibawaan ilmu dalam mendepani cabaran semasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed Abdelsalam serta Sheikh al-Azhar terhadap Malaysia.
“Saya amat menghargai persahabatan, dukungan dan kepercayaan yang dizahirkan Mohamed Abdelsalam serta Sheikh al-Azhar al-Sharif,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Anwar menyentuh penghargaan yang diberikan terhadap isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang disifatkan sebagai sosok wanita teladan atas keteguhan, kesetiaan dan pengorbanannya sepanjang mendampingi perjuangan beliau.
“Saya juga tersentuh dengan penghargaan yang diberikan buat Azizah sebagai sosok wanita teladan atas keteguhan, kesetiaan dan pengorbanannya sepanjang mendampingi perjuangan saya,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, segala usaha dan kerjasama yang sedang dirintis akan terus diperkukuh demi kepentingan umat Islam dan kesejahteraan masyarakat dunia.
“Insya-Allah, segala ikhtiar dan kerjasama ini akan terus diperkukuh demi kemaslahatan umat dan kesejahteraan sejagat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















