KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City mengesahkan semua pemain dan pegawai pasukan itu yang dijangkiti influenza ketika ini sedang menjalani kuarantin.
Skuad City Boys dalam satu kenyataan memaklumkan laporan perubatan rasmi mengesahkan 15 individu membabitkan 13 pemain dan dua pegawai pasukan dijangkiti wabak itu.
“Kesemua mereka mengalami gejala serius seperti demam berpanjangan, batuk, sesak nafas serta cirit-birit dan kini sedang menjalani kuarantin rapi,” kata kelab itu di sini hari ini.
Kelab itu memaklumkan atas faktor keselamatan serta bagi membendung penularan wabak terhadap pasukan lawan dan penyokong, satu permohonan rasmi dihantar kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai aksi berdepan Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung, petang ini.
“Pihak kelab juga sudah memulakan proses penghantaran notifikasi rasmi mengenai penularan penyakit berjangkit ini kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut,” kata KL City.
Terdahulu, MFL dalam satu kenyataan mengesahkan perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi jam 5 petang ini tidak dapat dilangsungkan selepas menerima permohonan rasmi daripada KL City.
MFL menjelaskan, setelah menilai permohonan serta keadaan yang dihadapi pasukan KL City, pihaknya memutuskan perlawanan itu tidak dapat dilangsungkan bagi memastikan aspek kebajikan dan kesihatan pemain serta pegawai pasukan diberikan keutamaan.
Sementara itu, Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam kenyataan menuntut kemenangan percuma secara ‘walkover’ diberikan kepada skuad itu susulan aksi berdepan KL City tidak dapat dilangsungkan pada saat akhir. – MalaysiaGazette
















