Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika sidang media pada Majlis Perasmian World Islamic Tourism and Trade Expo (WITEX) 2026 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab terhadap sebarang salah laku dalam pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu dibawa ke muka pengadilan jika terdapat bukti kukuh, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan proses siasatan tidak boleh dijadikan alasan untuk menganiaya, menzalimi atau memalukan mana-mana individu.

“Tentunya mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan jika didapati bukti-bukti yang kukuh.

“Tetapi jangan lakukan penganiayaan atau kezaliman atau bertujuan untuk memalukan mana-mana individu, sebagaimana yang pernah dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan World Islamic Tourism and Trade Expo (WITEX) 2026 Minister and CEO’s Summit di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Felda berdepan permasalahan besar yang berlaku dalam tempoh lama, termasuk kerugian atau kehilangan hampir  RM10 bilion yang menurutnya tidak boleh ditoleransi.

Katanya, siasatan terperinci perlu dilakukan sekiranya terdapat dakwaan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau kegagalan mematuhi tatakelola.

“Yang penting bukan hanya management auditing, tetapi forensic auditing mesti dilakukan,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, tanggungjawab menjalankan siasatan perlu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun bekas Pengerusi Felda sebelum ini telah menjalani hukuman.

Beliau berkata, kepentingan 225,000 peneroka Felda serta generasi pertama hingga kelima yang membabitkan kira-kira 1.8 juta individu secara langsung dan tidak langsung perlu terus dipelihara kerajaan.

“Sebab 225,000 peneroka Felda dan generasi Felda daripada generasi pertama hingga kelima sekarang ini berjumlah tidak kurang daripada 1.8 juta orang yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung, mesti kita santuni agar kepentingan mereka yang menjadi warga Felda ini dapat terus dipertahankan sewajarnya oleh pihak kerajaan,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, tindakan terhadap mana-mana individu perlu dibuat berdasarkan bukti kukuh dan proses yang adil, bukannya didorong niat untuk membalas dendam atau mengaibkan pihak tertentu.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan siasatan terhadap Felda benar-benar menjurus kepada usaha mendapatkan kebenaran serta mempertahankan kepentingan peneroka dan generasi Felda.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu berkata beliau akan menunggu laporan lengkap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu pengurusan Felda sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu telah memulakan tugas dan dapatan siasatan dijangka dibentangkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, media memaklumkan bahawa laporan Pasukan Petugas Khas berkaitan Felda dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum didedahkan kepada umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here