GEORGE TOWN – Seramai 20 lelaki warga China direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket love scam yang dipercayai menyasarkan mangsa dari negara sendiri.
Perintah reman terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid bermula hari ini sehingga Khamis ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.
Kesemua suspek diwakili peguam, Cheah Eng Soon.
Difahamkan, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tiga tingkat di Solok Sungai Emas, Batu Feringgi, di sini, kira-kira jam 7.05 malam semalam.
Kesemua suspek disyaki menjalankan kegiatan love scam yang menyasarkan mangsa dari China, selain menggunakan aplikasi Telegram bagi menjalankan urusan penipuan tersebut.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas lebih 100 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga komputer riba, beberapa buku nota serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
Difahamkan, sebahagian daripada suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah. – MalaysiaGazette
















