Muhammad Hilman Idham

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa segera mendedahkan semua ekshibit dan dokumen sebenar yang dirujuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) bagi memastikan dapatan siasatan itu dapat diteliti secara telus oleh rakyat.

Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham yang berkata, meskipun Laporan RCI TH telah didedahkan kepada rakyat dan Parlimen, dokumen sokongan yang menjadi asas kepada dapatan laporan berkenaan masih belum diberikan akses kepada umum.

Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui bukan sahaja kesimpulan yang dibuat RCI, tetapi juga bukti dan dokumen yang menjadi asas kepada kesimpulan tersebut.

“Bagi memastikan dapatan RCI dapat diteliti secara telus dan menyeluruh, kerajaan wajar segera mendedahkan dokumen-dokumen sokongan tersebut kepada penelitian awam.

“Rakyat berhak mengetahui bukan sahaja apa yang disimpulkan, tetapi bagaimana kesimpulan itu dibuat dan berdasarkan bukti apa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya memahami sekiranya terdapat dokumen tertentu yang dilindungi undang-undang atau pendedahannya boleh menjejaskan siasatan yang sedang berjalan.

Katanya, dokumen sedemikian boleh dikecualikan daripada pendedahan dengan alasan undang-undang yang jelas.

“Namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup keseluruhan rekod bukti daripada pengetahuan rakyat.

“Rakyat Malaysia harus diberi akses dan peluang menilai sendiri bukti dan fakta di sebalik dapatan RCI Tabung Haji,” katanya.

Beliau turut menegaskan, pendedahan dokumen berkenaan penting bagi memastikan ketelusan serta keyakinan rakyat terhadap proses dan dapatan RCI tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here