Adison Sumalee.

GEORGE TOWN – Pelancong Malaysia yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa Thailand dinasihatkan mengemukakan aduan melalui saluran rasmi dan bukan menjadikan media sosial sebagai medan luahan.

Pengerusi Pejabat Penyelarasan Pelancongan ASEAN, Majlis Pelancongan Thailand, Adison Sumalee berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan sesuatu isu menjadi lebih besar dan mencetuskan pertikaian antara rakyat kedua-dua negara.

Katanya, aduan boleh dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk Gabenor Songkhla, pihak berkuasa pelancongan, konsulat atau kedutaan untuk tindakan selanjutnya.

“Kalau ada masalah, buat aduan secara rasmi. Hantar surat, dokumen dan bukti kepada pihak yang betul. Jangan hanya bercakap di media sosial kerana akhirnya semua orang akan bergaduh.

“Lebih baik bincang perkara sebenar dan buat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab. Jika tidak membuat laporan, pihak berkuasa juga sukar mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sesi Jaringan dan Kerjasama Perniagaan Malaysia-Thailand di Hotel City Villa, Jalan Argyll di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu tular membabitkan 17 penunggang motosikal Malaysia yang menerima 15 saman berjumlah 15,000 baht (kira-kira RM1,850) daripada pihak berkuasa Thailand di Hat Yai, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Adison berkata, undang-undang negara yang dilawati perlu dihormati semua pihak, termasuk penunggang motosikal Malaysia ketika berada di Thailand.

“Kalau orang Thailand datang ke Malaysia, kita hormat undang-undang Malaysia. Begitu juga apabila orang Malaysia ke Thailand, perlu hormat undang-undang Thailand.

“Kalau saya melakukan kesalahan di Malaysia dan polis beri saman, saya bayar kerana itu soal menghormati undang-undang negara yang kita lawati,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan penunggang motosikal Malaysia tidak perlu takut untuk melancong ke Thailand susulan isu saman tersebut.

Jelasnya, isu berkenaan sudah diselesaikan selepas pihaknya mengemukakan maklumat dan dokumen berkaitan kepada pihak berkuasa di Songkhla.

“Jadi sekarang isu itu sudah selesai dan saya tidak mahu bercakap lagi mengenai perkara yang sudah berlalu.

“Kami mengalu-alukan semua penunggang motosikal Malaysia datang ke Hat Yai dan seluruh Thailand. Jangan risau dan jangan takut.

“Malaysia dan Thailand adalah negara bersaudara. Orang Thailand masuk sini untuk minum teh tarik dan orang Malaysia ke sana untuk nikmati tomyam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here