KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong pendirian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang kesal terhadap tindakan melafazkan Rukun Negara dalam bahasa, selain bahasa Melayu seperti yang tular baru-baru ini.
Ketua Penerangan Perkasa, Azrol Mansor berkata, isu berkenaan bukan soal memusuhi bahasa atau kaum lain, sebaliknya berkaitan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan, identiti negara dan prinsip kenegaraan Malaysia.
Menurutnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan jelas menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selain menjamin hak masyarakat menggunakan, mengajar dan mempelajari bahasa lain dalam ruang yang dibenarkan.
“Justeru, hak menggunakan bahasa lain tidak seharusnya ditafsirkan sebagai menafikan kedudukan bahasa Melayu dalam perkara yang mempunyai nilai rasmi, simbolik dan kenegaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrol berkata, Rukun Negara bukan sekadar lima prinsip yang dibaca secara rutin, sebaliknya merupakan antara lambang asas pembinaan negara dan wadah penyatuan rakyat Malaysia.
Katanya, apabila Rukun Negara dilafazkan dalam majlis yang membawa imej rasmi atau kenegaraan, Bahasa Melayu sewajarnya menjadi bahasa utama lafaz tersebut.
“Perkasa tidak mempersoalkan kepelbagaian bahasa yang menjadi realiti masyarakat Malaysia.
“Namun, kepelbagaian tidak boleh dijadikan alasan untuk menghakis perkara yang telah diberikan kedudukan khusus oleh Perlembagaan.
“Kita mahu sebuah Malaysia yang menghormati kepelbagaian, tetapi dalam masa sama tegas mempertahankan asas Perlembagaan,” ujarnya.
Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara perlu dihormati bukan sahaja melalui undang-undang dan pentadbiran, malah melalui penghormatan terhadap simbol, bahasa dan institusi kenegaraan.
Sehubungan itu, Perkasa menyeru semua pihak khususnya pemimpin, penjawat awam, institusi pendidikan dan penganjur program rasmi supaya menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam lafaz Rukun Negara serta acara yang mempunyai nilai kenegaraan.
“Rukun Negara milik seluruh rakyat Malaysia dan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang menyatukan kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















