Keratan laporan media berhubung guru kafa hilang sejak Sabtu lalu.

BAYAN LEPAS – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kehilangan seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Ara di sini, bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, penyebaran maklumat tidak sahih dikhuatiri boleh menjejaskan serta mengganggu siasatan yang sedang dijalankan pihak polis.

“Polis menegaskan bahawa siasatan lanjut dan usaha mengesan orang hilang itu masih dijalankan.

“Dalam masa sama, polis turut meneliti sebarang maklumat yang disebarkan berkaitan kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial satu hebahan yang mendakwa Mohamad Hijazi berjaya dihubungi adiknya kira-kira jam 3 petang tadi.

Hebahan itu turut mendakwa lelaki berkenaan meminta semua pihak mendoakan keselamatannya selain mendakwa tangan dan kakinya diikat.

Menurut hebahan sama, terdapat individu lain yang mengambil telefon bimbitnya sebelum meletakkannya jauh daripadanya.

Lelaki terbabit juga didakwa memberitahu berada di kawasan gelap dan luas seperti di dalam sebuah rumah serta tidak dapat memegang telefon untuk menghantar lokasi.

Bagaimanapun, polis menegaskan siasatan dan usaha mengesan Mohamad Hijazi masih dijalankan.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kehilangan Mohamad Hijazi Zamri, 26, yang gagal dihubungi keluarga selepas keluar dari rumahnya pada Sabtu lalu.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit meminta izin ibunya untuk ke Surau Al-Muttaqin di Lilitan Sungai Ara dengan menunggang motosikal Yamaha LC135 berwarna biru bernombor pendaftaran PQG 275.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04-8662222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here