SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya audit forensik dijalankan terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Jelasnya perkara itu bagi membincangkan isu yang melibatkan kerajaan menanggung kerugian hampir RM10 bilion.
“Kita akan bincang dalam Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita.
Anwar berkata demikian selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Hadir sama adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan isteri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan isteri, serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan isteri.
Kelmarin, Ahmad Zahid menegaskan audit forensik perlu dibuat bagi mengenal pasti dalang yang mengakibatkan Felda menanggung kerugian hampir RM10 bilion.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tanggungjawab melaksanakan perkara itu terletak pada Anwar biarpun bekas Pengerusi Felda sudahpun menjalani hukuman.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, langkah ini membolehkan pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya jika terbukti wujud unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau salah tadbir urus.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan kerajaan sedang menunggu laporan lengkap Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu pengurusan Felda sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Beliau berkata, laporan berkenaan akan menjadi asas kepada kerajaan untuk menentukan langkah penambahbaikan pengurusan serta tindakan susulan terhadap permasalahan yang dikenal pasti.
Anwar sebelum ini turut menegaskan siasatan berkaitan Felda perlu dijalankan secara telus dan segera, dengan semua permasalahan dikenal pasti secara menyeluruh sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Saranan audit forensik itu dilihat memberi dimensi baharu terhadap siasatan Felda, khususnya dalam usaha mengenal pasti punca kerugian besar serta kemungkinan berlaku pelanggaran tatakelola dalam pengurusan agensi berkenaan. – MalaysiaGazette
















