Ayda Jebat menerima Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

MELAKA – Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat menerima Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) sebagai pengiktirafan terhadap jasa serta sumbangannya dalam bidang seni tanah air.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat merupakan antara 431 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bagi sesi kedua, hari ini.

Anak kelahiran Ayer Keroh itu menerima pengiktirafan berkenaan menerusi istiadat yang berlangsung di Seri Negeri, di sini.

Ayda Jebat

Selain Ayda, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris turut dikurniakan B.C.M.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka, Ir. Salzeli Moktar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Akmal Abdul Manap menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk.

Pada sesi kedua istiadat berkenaan, dua individu menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Seramai 13 penerima pula dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) yang membawa gelaran Datuk Wira, manakala seorang menerima Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M).

Selain itu, seramai 64 individu menerima D.P.S.M yang membawa gelaran Datuk, sementara 33 lagi dianugerahkan Darjah Seri Melaka (D.S.M).

Dua individu turut menerima tauliah Jaksa Pendamai (J.P), manakala 51 penerima dianugerahkan B.C.M.

Dalam pada itu, seramai 83 individu menerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T), 126 menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dan 54 dianugerahkan Pingat Bakti Masyarakat (P.B.M).

Dua lagi individu menerima Pingat Khidmat Lama (P.K.L), sekali gus melengkapkan senarai 431 penerima bagi sesi kedua istiadat berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here