KUALA LUMPUR – 11 warganegara Malaysia yang dipercayai berada di daerah Rasuwa, Nepal dilaporkan terputus hubungan dengan agensi pelancongan mereka susulan banjir besar di Nepal.
Kementerian Luar memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerima laporan tersebut daripada agensi-agensi pelancongan terlibat.
Jelasnya, kehilangan komunikasi itu dipercayai berpunca secara langsung akibat gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik yang disebabkan oleh bencana berkenaan.
“Pihak Kedutaan sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan serta pasukan mencari dan menyelamat yang kini sedang dikerahkan oleh kerajaan Nepal bagi mengesan warganegara Malaysia yang terjejas dan memastikan keselamatan mereka,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Wisma Putra menasihatkan warganegara Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di Nepal, terutamanya mereka yang berada berhampiran kawasan terjejas, supaya kekal berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi sepenuhnya semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kementerian itu turut menggesa warganegara Malaysia supaya mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi talian +977 1 544 5680 / +977 1 544 5681 (umum), +977 1 544 5689 (konsular), +977 980 100 8000 (talian kecemasan) atau e-melĀ [email protected].
Wisma Putra memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan insiden itu secara dekat dan menyalurkan maklumat terkini sebaik sahaja maklumat sahih mengenai warganegara Malaysia berkenaan diperoleh.
Media melaporkan banjir kilat akibat limpahan Sungai Bhote Koshi melanda daerah Rasuwa di utara Nepal pada pagi Rabu, menyebabkan kerosakan di kawasan pasar, penempatan penduduk dan infrastruktur. -MalaysiaGazette
















