KUALA LUMPUR – Wanita yang tular susulan hantarannya berhubung pengalaman ketika berurusan dengan Jabatan Imigresen di UTC Pudu Sentral telah dirakam keterangan, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt Nuzulan Mohd Din, berkata pihaknya turut merakam pegawai imigresen yang terlibat, Ahad lalu.
Menurut beliau, pihak polis masih meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian itu sebagai sebahagian daripada siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, masing-masing berkaitan kesalahan mencuri serta sengaja menghina atau memalukan seseorang dengan niat untuk membangkitkan kemarahan.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian; serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 berkaitan penggunaan perkataan atau tingkah laku lucah, mengancam, menghina atau menyinggung perasaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan semalam berkata pihaknya telah membuat laporan polis selepas semakan mendapati beberapa dakwaan dalam hantaran tular mengenai pengalaman seorang pemohon ketika berurusan dengan pegawai di UTC Pudu Sentral tidak selaras dengan rakaman CCTV, rekod berkaitan serta keterangan pegawai yang bertugas semasa kejadian baru-baru ini.
Sabtu lalu, seorang pengguna media sosial di platform Threads mendakwa seorang pegawai imigresen di UTC Pudu Sentral menuduhnya mencuri sarung pasport selepas dia selesai menjalani proses permohonan dokumen berkenaan di kaunter jabatan itu sehari sebelumnya.
Individu tersebut turut mendakwa dia dilayan secara tidak wajar selepas didakwa mengambil sarung pasport itu secara tidak sengaja, dengan mengatakan bahawa dia tidak mengetahui sarung berkenaan perlu dibayar kerana itu merupakan kali pertama dia memohon dokumen tersebut. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















