KUALA LUMPUR – Gabungan Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) mahu pekerja universiti awam (UA) turut dilibatkan dalam proses pembentukan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA) susulan cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Presiden GAKUM, Norsyahriman Md Arif berkata, penglibatan pekerja penting bagi memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi baharu mengambil kira keseluruhan ekosistem universiti termasuk mahasiswa, warga akademik serta kumpulan pelaksana.
Menurutnya, pekerja UA turut memainkan peranan penting dalam menyokong dan memastikan misi, visi, fungsi serta operasi universiti berjalan dengan baik.
“Sebagai sebuah gabungan kesatuan sekerja yang mewakili kumpulan pelaksana di universiti awam dan pusat perubatan universiti, GAKUM cukup bersedia untuk menyumbang pandangan pekerja melalui siri libat urus yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya dalam kenyataan hari ini.
GAKUM menyifatkan, pembentukan OHEA di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 sebagai agenda reformasi penting dalam usaha memperkukuh landskap pendidikan tinggi negara.
Dalam masa sama, GAKUM menghormati usaha memperluas kebebasan mahasiswa dan kebebasan akademik sebagai sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan tinggi.
Bagaimanapun, katanya, autonomi institusi perlu bergerak seiring dengan akauntabiliti, tadbir urus yang baik serta perlindungan terhadap hak dan kepentingan pekerja.
“Prinsip-prinsip ini perlu diberikan perhatian secara seimbang dalam proses pembentukan kerangka perundangan yang baharu,” ujarnya.
GAKUM turut menegaskan, sebarang pembaharuan perlu mengambil kira kesinambungan pekerjaan, syarat perkhidmatan, gaji dan faedah, kekananan perkhidmatan, pencen dan persaraan, kebajikan pekerja serta hak representasi kesatuan.
Tambah beliau, sekiranya terdapat perubahan yang memberi kesan kepada perkhidmatan atau kebajikan pekerja, kesatuan sekerja yang mewakili mereka wajar diberi ruang mengemukakan pandangan sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
Katanya lagi, penglibatan GAKUM sejak peringkat awal juga membolehkan pandangan pekerja disampaikan secara teratur berdasarkan pengalaman dan keadaan sebenar di UA.
“Penglibatan tersebut juga memberi ruang kepada GAKUM untuk memahami cadangan Kerajaan dengan lebih jelas sebelum mendapatkan pandangan daripada kesatuan-kesatuan anggota GAKUM dan seterusnya mengemukakan maklum balas yang bersesuaian kepada KPT,” katanya.
GAKUM percaya pembentukan OHEA merupakan peluang untuk membangunkan kerangka pendidikan tinggi yang lebih holistik dan berdaya hadapan, selain memberi penekanan kepada kebajikan serta kesejahteraan warga universiti.
Sehubungan itu, GAKUM menyatakan kesediaan untuk menjadi rakan libat urus KPT dan memberikan kerjasama serta pandangan secara konstruktif sepanjang proses pembentukan OHEA. – MalaysiaGazette
















