JASIN – Seorang pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah ambulans di simpang tiga lampu isyarat Ayer Merbau, di sini, pagi tadi.
Mangsa, pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang, Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Jasin kira-kira jam 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu kira-kira jam 9.35 pagi membabitkan sebuah motosikal dan ambulans.
Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa ketika itu dalam perjalanan dari arah Jasin menghala ke Bemban, manakala ambulans pula dari arah Ayer Merbau menghala ke Hospital Jasin.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu ambulans keluar simpang ketika lampu isyarat berwarna merah.
“Akibatnya, kedua-dua kenderaan bertembung di tengah jalan dan polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka daripada kenderaan yang berada di belakang ambulans,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, nahas mengakibatkan mangsa cedera parah di kepala, tangan dan kaki sebelum dibawa ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital kira-kira jam 10.30 pagi.
“Proses bedah siasat mangsa yang juga anak kepada pegawai awam di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Jasin akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Jasin bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Menurut Lee Robert, kemalangan turut menyebabkan pemandu ambulans, Mohd Noorikhmal Baharuddin, 41, patah tangan, manakala dua penumpang ambulans iaitu pembantu perubatan, Daim Abdullah, 24, dan K. Seras @ Jeyaraj, 81, mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, beberapa klip video kejadian tular di media sosial memaparkan ambulans berkenaan bergerak perlahan sebelum berhenti seketika di lampu isyarat simpang berkenaan dan meneruskan perjalanan.
Bagaimanapun, motosikal mangsa yang sedang bergerak dari arah kanan kemudian merempuh bahagian pemandu ambulans menyebabkan mangsa dan motosikal ‘melekat’ di bahagian sisi ambulans. – MalaysiaGazette
















