Salah seorang yang dibawa SPRM untuk perintah tahanan reman bersabit laporan RCI TH hari ini.

PUTRAJAYA – Seorang ahli politik bergelar Datuk Seri yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dibawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini bagi mendapatkan perintah reman susulan pendedahan dan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Turut dibawa untuk siasatan kes sama ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan (MOF) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH yang kedua-duanya bergelar Tan Sri.

Mereka tiba pukul 9.30 pagi dengan ketiga-tiganya memakai baju berwarna oren tertera tulisan Lokap SPRM.

Semalam, media melaporkan bekas Pengersui TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu ditahan kira-kira pukul 4 petang.

Pada Jumaat lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH turut direman tujuh hari berkaitan laporan RCI TH.

Perintah reman sehingga hari ini dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu, media melaporkan beliau dipercayai menjadi antara individu terbaharu dalam radar siasatan SPRM berhubung laporan RCI TH.

Sumber sebelum ini memaklumkan, individu berkenaan juga adalah ahli korporat terkenal yang pernah memegang jawatan di beberapa syarikat terkemuka di negara ini.

SPRM sebelum ini sudah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.

Mereka terdiri daripada bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan selain pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here