KUALA LUMPUR – Dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) antara 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan kejadian banjir besar Sungai Bhote Koshi di sempadan Nepal-China.
JBPM dalam kenyataan hari ini mengesahkan kedua-dua pegawai berkenaan ialah Ketua Cawangan Kajian Operasi Pemadaman Kebakaran, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, JBPM, Mohd Sani Harul dan Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan bahawa dua orang pegawai jabatan ini merupakan antara 55 orang rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan kejadian banjir besar Sungai Bhote Koshi, sempadan Nepal-China,” katanya.
Menurut JBPM, kedua-dua pegawai berkenaan merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang sedang dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC), selepas bertolak ke Nepal pada malam Isnin lalu.
“Jabatan kini masih dalam proses menunggu perkembangan terkini operasi pencarian semua rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi daripada pihak kementerian yang berkaitan,” katanya.
Sehubungan itu, JBPM menyeru semua pihak supaya bersama-sama mendoakan keselamatan kesemua rakyat Malaysia yang dilaporkan berada di lokasi bencana berkenaan. – MalaysiaGazette
















