Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) wajar dipuji kerana menggesa kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM3,100 sebulan, kata Penasihat Buruh Antarabangsa Social Protection Contributors Advisory Association Malaysia (SPCAAM), Callistus Antony D’Angelus.

Beliau yang mempertahankan cadangan itu berkata, syor gaji minimum RM3,100 masih lebih rendah berbanding paras gaji kehidupan.

“Kerajaan yang mendakwa mewakili rakyat seharusnya berasa malu kerana gaji minimum di negara ini masih jauh di bawah paras gaji kehidupan.

“Gaji kehidupan merujuk kepada tahap pendapatan yang diperlukan seseorang pekerja yang bekerja dalam waktu normal untuk menyediakan taraf hidup yang wajar bagi diri dan keluarganya,” katanya.

Beliau berkata, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, antara segelintir pemimpin kesatuan sekerja yang lantang memperjuangkan kepentingan golongan pekerja berpendapatan rendah.

Dan, tidak mengejutkan apabila persatuan majikan tampil dengan pantas menolak pendirian MTUC, malah memberi amaran kononnya perniagaan akan muflis, kos akan melonjak dan pelbagai kesan buruk akan berlaku.

Sedangkan, beliau mendakwa, hakikatnya, tahap gaji pekerja sengaja dikekang melalui pelbagai kaedah bagi memaksimumkan keuntungan.

Menurutnya, sekiranya kos upah benar-benar menjadi masalah, perhatian perlu diberikan terlebih dahulu kepada gaji ketua pegawai eksekutif (CEO) serta jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tertinggi dengan pekerja bergaji paling rendah dalam sesebuah organisasi.

Beliau berkata, perbandingan tersebut boleh mendedahkan sejauh mana jurang pendapatan sebenar dan menyangkal dakwaan syarikat besar bahawa mereka tidak mampu membayar gaji minimum RM3,100 seperti dicadangkan MTUC.

Beliau turut menggesa kerajaan menunjukkan keberanian politik dan kemahuan untuk mengambil langkah yang terbaik bagi rakyat, khususnya golongan pekerja miskin, serta tidak tunduk kepada tekanan kumpulan perniagaan besar atau kepentingan yang tidak wajar.

Menurutnya, Kerajaan Madani setakat ini masih mengabaikan isu sebenar yang dihadapi pekerja dan golongan miskin.

“Rakyat sudah bersuara melalui peti undi dan keadaan hanya akan menjadi lebih buruk bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan pimpinannya jika isyarat amaran yang jelas ini terus diabaikan,” katanya.

Callistus berkata, kerajaan boleh mewujudkan mekanisme secara berperingkat bagi meningkatkan gaji minimum sehingga mencapai paras gaji kehidupan.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan jurang pendapatan dan kekayaan antara golongan berada dengan golongan kurang berkemampuan terus melebar sehingga mencetuskan masalah sosial dan politik yang tidak lagi dapat ditanggung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here