Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu menjadi wadah untuk rakyat menyemarakkan rasa cinta kepada negara, bukannya dipengaruhi emosi atau sentimen terhadap isu tertentu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan memboikot sambutan berkenaan hanya kerana tidak berpuas hati terhadap sesuatu isu juga tidak seharusnya berlaku.

“Jadikan ruang dan peluang ini untuk menebalkan rasa kecintaan pada negara kita. Setidak-tidaknya, patriotisme yang membara akan menjadi satu petunjuk kepada semua pihak di dalam dan luar negara, bahawa warga Malaysia tidak akan membiarkan tanah airnya menjadi medan politik dan polemik mana-mana pihak.

“Saya sangat tidak bersetuju dengan pihak yang merancang memboikot sambutan Hari Kebangsaan hanya kerana sesetengah sentimen seperti isu Rohingya,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang merdeka, aman dan berdaulat, yang terbina atas asas persefahaman serta keharmonian antara kaum dan agama.

Justeru, beliau berkata nilai tersebut perlu terus dihayati, dihargai dan dipertahankan oleh seluruh lapisan masyarakat demi memastikan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Mohamed Khaled turut menyeru seluruh rakyat agar mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan kesyukuran, selain tidak melupakan untuk mendoakan kesejahteraan negara, keselamatan serta pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas di sempadan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here