Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pendekatan birokrasi lama dalam memperkenalkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kuantum diubah bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam perkembangan pesat dunia.

Perdana Menteri itu berkata, negara perlu bergerak lebih pantas khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi tanpa terlalu terikat dengan proses serta kaedah lama yang boleh melambatkan pelaksanaan.

“Apakah itu tidak keupayaan? Kalau kita nak tunggu sistem dan kurikulum sekolah dan universiti dirombak tentu ia mengambil masa,” katanya ketika berucap pada National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Anwar berkata, universiti kini menunjukkan keupayaan untuk bertindak pantas apabila beberapa fakulti AI dapat diwujudkan dalam tempoh hanya tiga bulan berbanding proses biasa yang boleh mengambil masa sehingga setahun.

“Kalau ikut pendekatan lama, penubuhan satu fakulti itu dia mengikut kaedah dia, mesti merujuk kepada cadangan ataupun proposal, kemudian bawa kepada jabatan, kemudian bawa kepada senat, kemudian bawa kepada majlis, sebelum itu Board of Studies, kemudian kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, satu tahun baru (tubuh) jawabnya.

“Tetapi bila kita beri penekanan ini, saya lihat beberapa fakulti AI itu diwujudkan dalam masa tiga bulan. Maknanya kita ada keupayaan,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan AI dan teknologi kuantum tidak seharusnya hanya menjadi pengetahuan kelompok kecil, sebaliknya perlu didedahkan kepada masyarakat termasuk pelajar sekolah, institusi pendidikan, kolej vokasional, politeknik dan universiti.

“Mengapa soal AI itu menjadi milik kelompok kecil? Mengapa tak boleh kita dedahkan kepada khalayak? Mengapa soal teknologi kuantum yang sekarang menjadi fokus itu tidak disampaikan dengan bahasa yang mudah kepada anak-anak sekolah dan universiti?” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kepakaran saintis dan penyelidik perlu dibawa ke lapangan supaya ilmu serta kemahiran dalam bidang sains, teknologi dan inovasi dapat dikongsi secara lebih meluas.

Beliau berkata, usaha itu selaras dengan pendekatan Malaysia Madani yang bukan sahaja menekankan kemajuan teknologi, tetapi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat.

“Jadi sementara kita menggapai yang di langit, kita harus mengakar ke bumi. Jadi bagaimana kita boleh usahakan untuk memiliki sains, teknologi dan inovasi. Di samping itu kita tetap pertahankan nilai budaya dan kemanusiaan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan keperluan memperkukuh sinergi antara pusat penyelidikan, universiti, syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta bagi memastikan dana serta hasil penyelidikan dimanfaatkan secara lebih berkesan.

Beliau berkata, tumpuan tidak seharusnya berhenti pada penghasilan inovasi, sebaliknya hasil penyelidikan perlu dikomersialkan dan dibawa ke pasaran bagi memberikan manfaat nyata kepada rakyat serta meningkatkan keupayaan Malaysia sebagai negara perdagangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here