Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak enam peratus tidak semestinya membawa peningkatan hasil pendapatan kerajaan pada kadar sama, terutama apabila dipacu sektor baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pusat data dan ekonomi digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan sektor berkenaan lebih banyak memberi manfaat dari segi pembangunan, peluang pekerjaan serta peningkatan keupayaan teknologi negara.

“Pertumbuhan tinggi dalam bidang AI, pusat data dan digital ini tidak memberikan hasil pendapatan terus kepada negara. Ia memberikan ruang dari segi pembangunan, peluang pekerjaan dan peningkatan keupayaan teknologi.

“Jadi hasilnya di situ. Ia tidak seperti pembukaan kilang atau hasil pertanian yang memberikan pulangan terus kepada negara. Jadi hasilnya tidak setimpal dengan peningkatan pertumbuhan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Nasional (NICE) 2026, hari ini.

Anwar berkata, kerajaan perlu memahami kekangan ekonomi negara sebelum membuat keputusan berkaitan perbelanjaan dan peruntukan, termasuk dalam bidang penyelidikan serta sains.

“Ramai yang bertanya, kalau kita mencatat pertumbuhan enam peratus, hasil tentunya lebih tinggi dan belanja boleh lebih banyak. Tetapi itu tidak betul. Itu memang ekonomi yang cetek. Kita perlu memahami kekangan kita,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu tidak bermakna kerajaan perlu mengurangkan peruntukan bagi penyelidikan dan sains, sebaliknya kapasiti sedia ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui kerjasama lebih kukuh antara pusat penyelidikan, universiti, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

“Adakah ini bermakna kita semestinya perlu mengurangkan peruntukan untuk penyelidikan dan sains? Tidak.

“Tetapi apa yang saya cadangkan ialah kita memanfaatkan sepenuhnya kapasiti yang ada dan memastikan sinergi antara pusat penyelidikan, universiti, GLIC dan sektor swasta dipertingkatkan lagi bagi memastikan penyaluran dana dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, isu kekurangan graduan dalam bidang sains dan kejuruteraan turut perlu diberi perhatian, selain memperkukuh hubungan antara universiti dengan industri bagi memastikan bidang pendidikan memenuhi keperluan pembangunan negara.

Beliau berkata, kemajuan sains, teknologi dan inovasi perlu bergerak seiring dengan agenda kemakmuran bersama serta tidak mengabaikan kepentingan rakyat.

“Jangan lupa tentang permasalahan dan kepentingan rakyat. Kalau kita dalam negara maju, selalu saya ungkapkan tentang sains dan teknologi. Seolah-olah kita berusaha menggapai ke langit dengan ilmu baharu, sains, teknologi moden dan AI.

“Namun, jangan lupa kita ini adalah Malaysia. Kita ini manusia dan kita hidup dengan nilai. Maka sementara kita menggapai yang di langit, kita harus mengakar ke bumi,” katanya.

Pada 14 Ogos lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama.

Menurut BNM, pertumbuhan itu didorong permintaan domestik yang berterusan dan eksport yang kukuh, manakala perbelanjaan isi rumah disokong pertumbuhan pendapatan yang stabil serta sokongan dasar berterusan.

Sektor perkhidmatan berkembang 5.9 peratus, manakala sektor pembuatan mencatat pertumbuhan 7.3 peratus dengan prestasi elektrik dan elektronik (E&E) disokong permintaan kukuh berkaitan AI. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here