KUALA LUMPUR – Unit Integriti Kementerian Pendidikan (KPM) diarah mengambil tindakan selanjutnya berhubung kematian murid berusia 11 tahun dari sebuah sekolah rendah di Kedah, Allahyarhamah Nur Qaira Alisha Ahmad ‘Ilwan.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ia selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak.
Menurutnya, beliau dimaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah juga telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga mangsa.
“Saya mengikuti dengan penuh rasa dukacita pemergian Allahyarhamah anakanda Nur Qaira Alisha binti Ahmad Ilwan.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga atas kehilangan yang amat berat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Menurut Fadhlina, KPM memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid.
Ujarnya, keutamaan KPM pada masa ini adalah untuk memastikan keluarga diberikan ruang serta sokongan yang sewajarnya dalam menghadapi kehilangan ini.
“Semoga keluarga Allahyarhamah anakanda Nur Qaira Alisha diberikan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini,” katanya.
Sebelum ini, tular perkongsian media sosial bapa mangsa mendakwa anaknya itu yang mengalami masalah jantung diarahkan oleh seorang guru untuk menyertai aktiviti larian pada pemilihan rumah sukan walaupun surat pengesahan mengenai penyakitnya itu telah diberikan.
Akibat kejadian tersebut, Nur Qaira Alisha didakwa hanya mampu terlantar dan terpaksa memakai oksigen seumur hidup sebelum mangsa dilapor meninggal dunia pada jam 7.49 petang semalam. – MalaysiaGazette
















