Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di mahkamah dijangka berdepan pertuduhan berkaitan pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta sesak dengan kehadiran ratusan penyokong dan ahli UMNO Bahagian Bera yang tiba seawal 7 pagi bagi menanti kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Rata-rata penyokong dilihat berkumpul dalam suasana tenang di sekitar pekarangan mahkamah, menunggu ketibaan Ismail Sabri yang dijangka sekitar 8.30 pagi.

Sebaik sahaja tiba dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam, Ismail Sabri kelihatan tenang sambil mengenakan kot hitam dan melemparkan senyuman kepada penyokong yang menantinya.

Beliau turut bersalaman dengan mereka seorang demi seorang sebelum masuk ke dalam kompleks mahkamah, malah sempat melayan beberapa penyokong yang mahu bertemu dengannya.

Sikap tenang dan senyuman Ismail Sabri itu dilihat turut menenangkan penyokong yang berkumpul di pekarangan mahkamah sejak awal pagi.

Kehadiran ratusan penyokong, khususnya dari UMNO Bahagian Bera, memenuhi ruang pekarangan mahkamah selain orang awam dan petugas media yang turut berada di lokasi bagi mengikuti perkembangan prosiding.

Ratusan hadir memberikan sokongan kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pagi ini.

Ismail Sabri dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sekitar 9 pagi ini di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Beliau dijangka berdepan pertuduhan berkaitan pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pertuduhan itu susulan siasatan SPRM berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika menjadi Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Sebelum ini, prosiding pendakwaan terhadap Ismail Sabri yang dijadualkan pada 7 Ogos lalu ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) ketika sedang memberikan keterangan kepada SPRM.

Beliau dilaporkan mengalami masalah berkaitan degupan jantung dan menerima rawatan di IJN, menyebabkan prosiding di mahkamah tidak dapat diteruskan pada tarikh berkenaan.

Siasatan terhadap Ismail Sabri turut menyaksikan SPRM menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberikan keterangan berhubung siasatan tersebut.

Perkembangan lanjut prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri itu akan menyusul pada bila-bila masa dari sekarang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here