KUALA LUMPUR – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) terus mencatat prestasi berdaya tahan bagi tempoh kumulatif suku kedua berakhir 30 Jun lalu, dengan merekodkan hasil takaful RM2.0 bilion, ia peningkatan tujuh peratus daripada RM1.8 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, keuntungan sebelum zakat dan cukai Takaful Malaysia pula meningkat enam peratus kepada RM305.6 juta berbanding RM287.0 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan hasil dan keuntungan itu mencerminkan kekuatan perniagaan takaful teras Kumpulan, disokong oleh momentum berterusan dalam perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am, pelepasan margin perkhidmatan kontraktual yang kukuh serta pendapatan pelaburan bersih yang lebih tinggi.
Prestasi itu menyerlahkan daya tahan model perniagaan Takaful Malaysia yang pelbagai serta keberkesanan pendekatan berdisiplin Kumpulan terhadap pertumbuhan, keuntungan dan pengurusan risiko dalam persekitaran operasi yang dinamik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, prestasi suku kedua tahun 2026 itu menunjukkan daya tahan perniagaan serta keberkesanan strategi syarikat tersebut.

“Kami berbesar hati melihat kedua-dua perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am terus mencatatkan pertumbuhan positif, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil dan keuntungan Kumpulan.
“Pencapaian ini bukan sekadar pertumbuhan angka. Kualiti dan kemampanan pendapatan kekal menjadi teras strategi kami.
“Portfolio yang pelbagai, pendekatan berdisiplin dalam pengunderaitan dan pelaburan, serta pelepasan CSM yang kukuh menjadi asas kepada keupayaan kami mengharungi perubahan pasaran sambil meneruskan pertumbuhan yang mampan.
“Kami kekal fokus untuk membina perniagaan takaful yang lebih kukuh dan bersedia untuk masa hadapan, yang responsif kepada keperluan pelanggan, tangkas dari segi komersial serta berupaya memberikan nilai yang konsisten kepada pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, perniagaan takaful keluarga Kumpulan itu mengekalkan momentum pertumbuhan dengan hasil takaful meningkat 5.7 peratus kepada RM1.16 bilion daripada RM1.09 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu disokong oleh pelepasan caruman yang lebih tinggi dan peningkatan perlindungan takaful, mencerminkan permintaan berterusan terhadap perlindungan keluarga.
Perniagaan takaful am turut mencatatkan prestasi kukuh dengan hasil takaful meningkat 16.1 peratus kepada RM806.7 juta berbanding RM694.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh peningkatan caruman daripada segmen motor.
Prestasi positif merentasi kedua-dua segmen perniagaan itu menyerlahkan kekuatan portfolio Takaful Malaysia yang pelbagai serta keupayaannya untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan merentasi pelbagai segmen pelanggan dan keperluan perlindungan.
Menjelang separuh kedua 2026, Takaful Malaysia kekal fokus untuk menterjemahkan asas perniagaan yang kukuh kepada pertumbuhan berkualiti dan mampan.
Kumpulan itu melihat peluang pertumbuhan yang disokong oleh asas ekonomi yang berdaya tahan, jurang perlindungan yang masih ketara serta peningkatan kesedaran dalam kalangan individu, perniagaan dan institusi terhadap keperluan perlindungan kewangan yang menyeluruh.
Takaful Malaysia akan terus memanfaatkan kekuatannya, khususnya menerusi kerjasama bankatakaful, untuk memperluas kedudukan dalam segmen runcit melalui produk berasaskan khidmat nasihat dan caruman berkala.
Usaha itu bertujuan menjangkau segmen pasaran yang masih kurang diterokai, di samping memperluas akses kepada penyelesaian takaful.
Takaful Malaysia juga akan terus memanfaatkan platform digitalnya, Kaotim, bagi meningkatkan penglibatan pelanggan serta menyediakan saluran alternatif untuk mendapatkan produk takaful dengan mudah dan mampu milik.
Ini mencerminkan komitmen Takaful Malaysia untuk menjadikan penyelesaian perlindungan lebih mudah diakses menerusi pengalaman pelanggan yang lancar.
Memandangkan kadar penembusan takaful di Malaysia masih relatif rendah, Takaful Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perlindungan mampu milik, perancangan kewangan dan perlindungan perubatan.
Dinamik pasaran ini turut meletakkan Takaful Malaysia pada kedudukan yang kukuh untuk memperluas kehadirannya dalam industri, sambil menjana pertumbuhan yang mampan dan mencipta nilai jangka panjang kepada Kumpulan.
Pada masa yang sama, Takaful Malaysia akan terus mempelbagaikan dan memperkukuh portfolionya melangkaui takaful motor.
Peluang pertumbuhan yang besar wujud merentasi segmen komersial dan runcit dalam pasaran takaful am, khususnya dalam perlindungan aset yang berpotensi tinggi dan belum diterokai sepenuhnya.
Dengan memanfaatkan peluang ini, Kumpulan berhasrat untuk melonjakkan pertumbuhannya serta memperkukuh aspirasinya untuk menjadi penyedia takaful terkemuka dan peneraju industri di Malaysia.
Kumpulan akan terus mengamalkan pendekatan berdisiplin dalam pengunderaitan, peruntukan modal dan pengurusan risiko bagi memastikan pertumbuhan disokong oleh asas kewangan yang kukuh dan mampan.
Sementara itu, Nor Azman berkata, fasa pertumbuhan seterusnya bukan sekadar untuk mengembangkan perniagaan syarikat tersebut.
“Fokus kami adalah untuk memperkukuh kualiti pertumbuhan, mempererat hubungan dengan pelanggan serta mencipta nilai lebih besar dalam ekosistem takaful.
“Kami akan terus melabur dalam modal insan, teknologi, produk dan keupayaan pengedaran, di samping memperkukuh kerjasama strategik.
“Pendigitalan akan kekal sebagai pemacu penting dalam menjadikan takaful lebih mudah diakses, relevan dan mudah untuk pelanggan kami,” katanya.
Dengan model perniagaan pelbagai, asas kukuh serta hala tuju strategik yang jelas, tambah Nor Azman, syarikat itu berada pada posisi terbaik untuk memanfaatkan peluang baharu sambil kekal berdisiplin dalam mengurus risiko.
“Kami akan terus melaksanakan strategi dengan fokus dan tangkas bagi mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang serta mencipta nilai berkekalan untuk pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















