Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Seramai 57 warganegara Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar di daerah Rasuwa, Nepal.

Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, pihaknya menerima laporan daripada ahli keluarga, rakan dan majikan berhubung rakyat Malaysia berkenaan setakat jam 11 malam, semalam.

Menurut kenyataan itu, kementerian menerusi Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan sedang membuat semakan lanjut berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan di Nepal.

“Pihak berkuasa tempatan di Nepal telah melaporkan bahawa 31 warganegara asing berjaya diselamatkan setakat ini.

“Kementerian belum menerima pengesahan sama ada terdapat warganegara Malaysia dalam kalangan mereka yang diselamatkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Wisma Putra turut menerima maklumat mengenai kemungkinan terdapat warganegara Malaysia memasuki kawasan terjejas melalui China dan India.

Sehubungan itu, ahli keluarga rakyat Malaysia yang berada atau melakukan perjalanan di rantau berkenaan dan masih belum berdaftar dengan kementerian digesa menyalurkan maklumat berkaitan bagi membantu proses semakan.

Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan turut bekerjasama dengan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Kementerian Luar Negeri Nepal dan Lembaga Pelancongan Nepal bagi menyemak maklumat rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan polis, agensi keselamatan, pihak berkuasa tempatan serta penduduk Nepal di kawasan terjejas, termasuk memindahkan keluarga dari lokasi berisiko dilanda banjir susulan.

Wisma Putra berkata, kerosakan teruk laluan darat dan gangguan komunikasi di sebahagian besar kawasan terjejas menyebabkan helikopter digunakan secara meluas dalam operasi mencari dan menyelamat.

Individu yang memerlukan rawatan perubatan segera diterbangkan ke hospital utama di Kathmandu, manakala mangsa yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di pusat perubatan di kawasan terjejas.

Sementara itu, Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya kini beroperasi 24 jam sehingga dimaklumkan kelak bagi menyelaras maklumat serta membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.

Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir dan nombor telefon yang boleh dihubungi, boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian di talian +603 8887 4570 atau e-mel [[email protected]](mailto:[email protected]).

Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menerusi [[email protected]](mailto:[email protected]).

Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Nepal, khususnya di kawasan terjejas atau berhampiran supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia juga digesa mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here