KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Program Turapan membabitkan 59 kilometer jalan protokol dan jalan utama di ibu negara bagi meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya.
Program yang melibatkan kira-kira 1.3 juta meter persegi itu dilaksanakan secara berperingkat dalam dua fasa bermula Ogos 2026 hingga Februari 2027.
Antara laluan utama yang terlibat ialah Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.
DBKL berkata, program berkenaan bukan sekadar menurap semula permukaan jalan, sebaliknya turut melibatkan pembaikan kerb, kerja mill and pave, penyelarasan aras manhole serta penandaan semula garisan jalan.
Turut dilaksanakan ialah penyelenggaraan jambatan, penggantian guardrail dan bridge joint, pemasangan flexible pole serta rumble strip dan pembaikan sistem lampu isyarat di lokasi dikenal pasti.
“Penggunaan Stone Mastic Asphalt (SMA14) dijangka memberikan ketahanan lebih baik terhadap beban berat, manakala garisan jalan menggunakan bahan termoplastik berciri pantulan cahaya bagi meningkatkan keterlihatan pada waktu malam.
“Penambahbaikan permukaan jalan itu turut membantu meningkatkan cengkaman tayar, khususnya ketika keadaan jalan basah atau hujan,” demikian menurut kenyataan DBKL.
Melalui program berkenaan, DBKL menyasarkan jangka hayat turapan dapat ditingkatkan sehingga 50 peratus, selain memastikan kawasan terlibat 100 peratus bebas lubang.
Katanya, kos penyelenggaraan rutin pula berpotensi dikurangkan sehingga 40 peratus.
“Bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna, kerja penurapan dilaksanakan pada 10 malam hingga 5 pagi dengan penutupan lorong secara berfasa bagi memastikan aliran trafik terus bergerak,” jelasnya.
DBKL berkata, pelaksanaan program itu merupakan sebahagian daripada usaha menerjemahkan semangat Ihsan Bandar Raya menerusi penyediaan kemudahan awam yang lebih selamat, berkualiti dan tahan lama.
Usaha berkenaan diharap dapat memberikan perjalanan lebih lancar dan selesa, selain mengurangkan risiko kerosakan kenderaan serta meningkatkan kualiti hidup warga kota. – MalaysiaGazette
















