Sisa sampah yang ditinggalkan pengunjung di jalan raya sempena sambutan Tahun Baharu 2026 di Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengingatkan orang ramai yang menghadiri Festival Ambang Merdeka 2026 di Dataran Merdeka dan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya supaya menjaga kebersihan serta tidak membuang sampah sesuka hati.

KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berkata, kehadiran orang ramai dalam jumlah besar dijangka meningkatkan penghasilan sisa seperti bekas makanan dan minuman, botol plastik, pembungkus makanan serta barangan pakai buang.

Sehubungan itu, setiap pengunjung bertanggungjawab memastikan sampah yang dihasilkan dibuang ke tempat yang disediakan sebelum meninggalkan lokasi sambutan.

Pada masa sama, SWCorp turut memperketat pemantauan dan penguatkuasaan dengan menempatkan anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan sepanjang sambutan.

Tindakan akan diambil terhadap individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam, dengan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga maksimum 12 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui semangat patriotisme, tetapi juga disiplin dan tanggungjawab rakyat dalam menjaga kebersihan negara.

“Kita mahu rakyat Malaysia turun beramai-ramai menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh semangat dan rasa bangga. Selepas kita melaungkan ‘Merdeka’, janganlah kita tinggalkan sampah merata-rata.

“Cinta kepada negara bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tetapi turut dibuktikan melalui sikap kita menjaga kebersihan negara dan meningkatkan imej negara,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman sebelum ini, termasuk ketika Dataran Merdeka dipenuhi sampah selepas aksi final Piala Dunia 2026, perlu dijadikan iktibar agar perkara sama tidak berulang.

“Kebersihan bukan tanggungjawab petugas pembersihan semata-mata, sebaliknya setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap sampah yang dihasilkan sendiri.

“Datanglah dengan semangat Merdeka dan pulanglah dengan penuh tanggungjawab. Kita mahu Dataran Merdeka dan Putrajaya kekal bersih selepas sambutan kemerdekaan.

“Malaysia rumah kita, kebersihan tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Sehubungan itu, KPKT dan SWCorp menyeru semua pengunjung mengamalkan prinsip “Datang Bersih, Balik Bersih” dengan memastikan semua sampah dibuang ke tempat yang disediakan sebelum meninggalkan lokasi sambutan.

Kerjasama orang ramai penting bagi memastikan lokasi sambutan kekal bersih, selamat dan selesa untuk semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here