KUALA LUMPUR – `Nota’ atas meja makan yang ditinggalkan seorang pengarah mendedahkan kekecewaannya kerana isteri menjadi mangsa penipuan cinta (love scam) sehingga menanggung hutang dan kerugian RM260,000.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki berusia 48 tahun itu melahirkan kekesalan kerana isterinya yang juga seorang suri rumah didakwa masih cuba menghubungi scammer berkenaan.
Menurut beliau, lelaki tersebut yang juga bapa dua anak kemudian meninggalkan sekeping nota di atas meja makan sebelum dipercayai membunuh diri.
“Suspek merasakan perbuatan itu sudah melampau selain berasa malu kepada anak-anaknya,” kata Fadil dalam kenyataan hari ini.
Dipercayai, kerugian sehingga RM260,000 menjadi punca pasangan itu dan anak mereka maut di sebuah kondominium di Desa Parkcity di sini semalam.
Fadil berkata, proses bedah siasat terhadap anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia sembilan tahun selesai dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah hari tadi.
Bedah siasat yang bermula 9 pagi itu menemukan satu luka tikaman berukuran lima sentimeter pada bahagian leher kanak-kanak berkenaan.
“Bedah siasat kedua ke atas mayat isteri suspek akan dijalankan selepas solat Jumaat dan dijangka tiga bedah siasat akan dilakukan hari ini.
“Bedah siasat ke atas mayat suspek pula dijangka dilakukan esok selepas pasukan forensik HKL mengadakan lawatan ke lokasi kejadian pada pagi esok,” katanya.
Mengulas mengenai senjata dipercayai digunakan dalam kejadian, Fadil berkata, polis menemukan sebilah pisau bersama sepasang sarung tangan di dalam sebuah laci di bilik tidur utama.
“Kedua-dua barangan itu dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Media melaporkan, lelaki itu maut selepas terjatuh dari bangunan kondominium berkenaan manakala isterinya berusia 47 tahun serta dua anak mereka ditemukan meninggal dunia dalam unit kediaman keluarga itu.
Polis yang menerima laporan pukul 3.32 petang kemudian memasuki unit kediaman berkenaan dengan bantuan bomba sebelum menemukan wanita itu serta dua anaknya, masing-masing perempuan berusia sembilan tahun dan lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia dalam bilik berasingan.
Ketiga-tiga mangsa ketika ditemukan mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh. – MalaysiaGazette
















