KUALA LUMPUR – UMNO didesak menghentikan ‘sandiwara’ berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), termasuk mengambil tindakan terhadap pemimpin yang didakwa mempunyai kaitan dengan tempoh siasatan berkenaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki perlu mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan segera.
Katanya, sebagai parti dalam kerajaan, UMNO sepatutnya menghormati dapatan RCI dan membantu mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap isu yang berlaku di institusi berkenaan, bukannya cuba mengelak daripada tanggungjawab.
“Asyraf Wajdi pula yang berada dalam kerajaan dalam tempoh yang termasuk dalam skop siasatan RCI TH itu perlu bersedia menjawab persoalan tentang tanggungjawab politik, peranan dan pengetahuan terhadap apa yang berlaku ketika itu.
“RCI telah menyebut wujud transaksi mencurigakan, penyembunyian maklumat, kelemahan proses membuat keputusan pelaburan dan kegagalan tadbir urus. RCI juga mencadangkan audit forensik terhadap sejumlah pelaburan bermasalah.
“Justeru, Asyraf Wajdi berada dalam kedudukan untuk mengambil tanggungjawab untuk meletakkan satu standard baru dengan menjadi pimpinan UMNO pertama direhatkan kerana ada banyak lagi RCI selepas ini, terutama Felda dan juga MARA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebelum ini menuduh UMNO mengadakan ‘sandiwara’ berhubung RCI TH, selain mempersoalkan sama ada tindakan itu bertujuan melindungi pihak yang bertanggungjawab daripada berdepan tindakan mahkamah.
Rayer turut mempersoalkan tujuan forum awam yang menampilkan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad bagi membincangkan dapatan RCI selepas laporan itu dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Forum berkenaan, katanya, menimbulkan persoalan mengenai pendekatan UMNO dalam menangani perkara yang sepatutnya diteruskan mengikut undang-undang dan proses sewajarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco AMK, Mohd Shafiq Iqram Abdullah sebelum ini turut menggesa Asyraf Wajdi menjadi pimpinan UMNO pertama ‘direhatkan’ susulan siasatan yang sedang dijalankan berkaitan RCI TH.
Beliau berkata, tindakan itu wajar dipertimbangkan bagi memastikan siasatan berjalan tanpa sebarang persepsi gangguan atau konflik kepentingan. – MalaysiaGazette
















