KUALA LUMPUR – West Coast Expressway (WCE) menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari di jajaran lebuh raya yang telah beroperasi sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan cuti sekolah.
Peningkatan trafik itu dijangka berlaku susulan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan melakukan perjalanan antara negeri, khususnya antara Lembah Klang dengan destinasi di Selangor dan Perak.
Sehubungan itu, Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir. Syed Muhd. Naguib menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan waktu puncak, terutama dari lewat petang hingga malam.
“Kami menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari akan menggunakan WCE sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah ini.
“Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan setiap pengguna lebuh raya. Rancang perjalanan, dapatkan rehat secukupnya dan jangan sekali-kali menggadaikan keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit perjalanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, WCE turut meningkatkan kesiapsiagaan operasi di sepanjang jajaran yang telah dibuka, termasuk rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang beroperasi 24 jam serta pemantauan trafik secara berterusan.
Pengguna juga digalakkan menggunakan aplikasi WCE untuk merancang perjalanan, mendapatkan panduan navigasi serta maklumat trafik masa nyata termasuk paparan CCTV secara langsung.
WCE menasihatkan pengguna memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, baki kad Touch ’n Go atau e-dompet mencukupi serta mematuhi had laju dan memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.
Pengguna yang berasa letih pula dinasihatkan berhenti berehat di hentian sebelah, plaza tol atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R), manakala penunggang motosikal boleh menggunakan kawasan teduhan motosikal yang disediakan.
WCE turut mengingatkan semua pengguna supaya tidak menggunakan lorong kecemasan kecuali ketika kecemasan kerana laluan itu dikhususkan untuk operasi menyelamat, pengurusan insiden dan situasi yang memerlukan akses segera.
Pengguna yang memerlukan bantuan kecemasan di sepanjang WCE boleh menghubungi WCE Infoline di talian 1700-81-6600 yang beroperasi 24 jam. – MalaysiaGazette
















