KUALA LUMPUR – Dewan Pameran A (Dewan A) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dekat sini dibuka semula kepada pengunjung petang ini selepas ditutup sementara susulan insiden kemunculan asap dan bau kurang menyenangkan.
Jawatankuasa Penganjur Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dalam kenyataan memaklumkan insiden pada 4.50 petang tadi telah dikawal dengan pemeriksaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama pasukan pengurusan keselamatan tapak mendapati tiada ancaman keselamatan berterusan.
“Pihak penganjur ingin menegaskan insiden teknikal itu telah diatasi tanpa membabitkan sebarang implikasi struktur. Tiada kecederaan, kecemasan perubatan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Dewan Pameran A telah disahkan selamat dan dibuka semula untuk kunjungan berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Jawatankuasa itu memaklumkan tindakan pengosongan sementara dewan yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan standard di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) Keselamatan MAHA 2026 bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengunjung dan pempamer.
MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS membabitkan kira-kira 2,000 pempamer dengan sasaran kehadiran lebih empat juta pengunjung. – MalaysiaGazette
















