Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol (tengah) menyaksikan penyerahan sijil MBOR kepada K Krishnakumar.

KUALA LUMPUR – Kejohanan bina badan, Mr Enrich On The Go 2026 menjadi saingan terbesar bagi sukan bina badan dengan penyertaan sudah hampir 100 peserta dengan 15 kategori ditawarkan buat atlet bina badan tempatan dan luar negara.

Kejohanan yang sedang berlangsung di Dewan TLKB Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur bermula semalam hingga 31 Ogos ini turut menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai sebanyak RM125,000.

Lebih membanggakan, kejohanan itu juga tersenarai buat kali ketiga dalam Malaysia Books of Record (MBOR) yang menjadi bukti prestij jenama Mr. Enrich.

Penganjur, K. Krishnakumar berkata, buat kali kedua kategori khas unit beruniform dipertandingkan menyaksikan penyertaan hampir 100 anggota badan unit beruniform daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kastam, Imigresen dan pelbagai agensi lain.

Menurut beliau, bukan itu sahaja, kategori First Time turut diperkenalkan buat julung kalinya bagi memberi peluang kepada mereka yang baru mahu menceburi sukan bina badan.

“Kami mahu Mr. Enrich On The Go menjadi ‘pintu masuk’ buat golongan muda untuk mula berkecimpung dalam sukan ini sebelum meningkat ke kategori yang lebih tinggi.

“Kali ini kami ada kategori khas unit beruniform seperti edisi lalu yang mendapat penyertaan luar biasa selain jemputan atlet dari luar negara.

“Walaupun penganjuran dianjurkan sebagai sebuah kelab, kami mahu menggalakkan orang muda untuk ceburi sukan bina badan dan kebanyakan atlet yang sertai kejohanan ini sudah pernah wakili negeri atau negara” katanya yang juga Presiden Kelab Bina Badan Enrich.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol menyaksikan penyerahan sijil MBOR kepada Krishnakumar pada majlis pelancaran Mr Enrich On The Go 2026 di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan Geran Padanan Sukan sebanyak RM25,000.00 diberikan kepada Kelab Bina Badan Enrich dalam usaha membangunkan sukan ini dalam komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here