AMPANG JAYA – Pakatan Harapan (PH) mengesahkan sudah berhubung dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung kemungkinan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun perbincangan lebih lanjut masih menunggu beberapa keputusan dasar di peringkat UMNO dan Barisan Nasional (BN) Pusat.
“Saya sebenarnya sudah berhubung. Dia cakap dia tunggu beberapa keputusan dasar di peringkat UMNO Pusat dan BN Pusat untuk meneruskan perbincangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program MADANI Bersama Komuniti Ampang Jaya, di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, perbincangan itu tidak seharusnya dilihat sebagai usaha PH untuk menetapkan bentuk kerjasama dengan UMNO sahaja kerana PH sentiasa terbuka untuk berbincang dengan pelbagai parti.
“Kita bukannya menetapkan harus kerja dengan UMNO.
“Kita kena menetapkan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak.
“Bila UMNO cakap boleh nak kerjasama, okaylah. Tak apa, kita bincanglah, tengoklah,” katanya.
Beliau turut menolak pandangan bahawa hubungan politik perlu dibentuk berdasarkan label atau persepsi terhadap sesebuah parti.
“Politik memerlukan kesediaan semua pihak untuk melihat kepentingan lebih besar, khususnya kestabilan kerajaan dan kemakmuran negara,” katanya.
Katanya lagi, PH juga tidak mahu mengulangi episod perpecahan politik yang pernah menyebabkan ketidakstabilan negara.
“Kita tak nak ulangi dan kita kena tubuhkan kerajaan yang stabil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















