PERMATANG PAUH – “Saya tak sokong orang judi,” demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan beliau adalah ‘tauke judi’.
Sebaliknya, Anwar berkata, jumlah cabutan judi yang sebelum ini 22 kali setahun dikurangkan kepada lapan kali ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
“Orang kata, oh, Anwar ini tauke judi.’ Saya tak sokong orang judi.
“Dulu judi, sebelum saya jadi Perdana Menteri, masa kerajaan dulu perintah, semua parti dululah. Berapa cabutan setahun? 22 kali.
“Masa saya perintah, saya turun daripada 22, jadi lapan kali,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Skim Usahawan Bangkit (Sub) Madani di Yayasan Aman di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Jawatankuasa Task Force (Kluster Makanan), Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Tambah Anwar, beliau tetap menjadi sasaran kritikan walaupun jumlah cabutan berkenaan dikurangkan ketika memerintah.
“Nak maki pasal apa? Pasal kamu perintah dulu 22 kali. Masa saya perintah, saya turunkan lapan kali.
“Cukup? Belum cukup. Baik? Belum baik. Tapi untuk kamu serang saya, kamu terima dulu, kamu buat dulu 22 kali. Saya turunkan lapan kali,” katanya.
Media pada Disember 2022 melaporkan kekerapan cabutan khas perjudian kembali diturunkan kepada lapan kali setahun mulai Januari tahun hadapan.
Ia selepas Anwar mengarahkan cabutan khas perjudian itu dikurangkan berbanding 22 kali pada era pemerintahan kerajaan terdahulu.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu lesen premis perjudian di Kedah selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan berkaitan perkara itu.
Dalam ucapannya, Muhammad Sanusi didakwa menggunakan perkataan `celaka’ dan `pecah perut’ sehingga mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk parti lawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata, tindakan terhadap sebarang isu membabitkan kehilangan atau kebocoran wang negara termasuklah seperti dilaporkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) adalah untuk memastikan wang negara dilindungi dan manfaatnya kembali kepada rakyat.
Katanya, kegagalan mengambil tindakan boleh menyebabkan negara mengalami kerugian, namun langkah yang diambil bagi menangani sesuatu isu pula tidak terlepas daripada menerima kritikan.
“Macam TH, bila tidak ambil tindakan, negara rugi. (Bila) ambil tindakan, kena maki. Saya pun tidak faham.
“Bukan saya tangkap. Saya kata duit hilang RM12 bilion. Ada, siasat. Ada bukti, dakwa ke mahkamah. Kemudian serah kepada hakim sama ada salah atau tidak,,” katanya. – MalaysiaGazette
















