KOTA KINABALU – Tiga kanak-kanak, termasuk dua perempuan terkorban dalam kebakaran yang melibatkan lebih 200 rumah di tiga kampung di Numbak di sini awal pagi ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa, iaitu Nana Abdullah berusia 4 tahun, Mohd Asrul Abdullah, 6, dan Nurfarahdilah Mohd Tajihah, 8, ditemukan rentung dalam kejadian itu.
“Terdapat tiga orang dikhuatiri hilang dalam kejadian itu, bagaimanapun mangsa telah ditemukan pasukan bomba. Jumlah sebenar rumah yang terlibat serta status mangsa masih dalam proses pengesahan. Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
JBPM memaklumkan kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan atas air jenis tidak kekal yang merangkumi tiga kampung, iaitu Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran dan operasi pemadaman serta kerja-kerja overhaul sedang dijalankan.
Sebanyak 39 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, BBP Lintas dan BBP Penampang digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman. – BERNAMA
















