JERTIH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menafikan dakwaan pengambilan individu bukan warganegara sebagai peserta pasar tani di bawah seliaannya yang tular di Facebook semalam.
FAMA Terengganu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pasar tani yang tular itu di Kuala Besut dan tidak melibatkan pasar tani kendalian agensi tersebut.
“Hanya dua lokasi pasar tani di Besut di bawah seliaan FAMA, iaitu Pasar Tani Jertih yang beroperasi setiap Khamis dan Pasar Tani Alor Lintang pada Sabtu,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, tular di media sosial gambar seorang lelaki dipercayai warga asing menjual sayur di sebuah pasar pagi di Besut. – BERNAMA
















