Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berucap ketika hadir pada Perhimpunan Agung MIC ke-79 di IDCC, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 16 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu terus berpijak pada asas yang dibina pemimpin terdahulu ketika mencapai kemerdekaan, khususnya dalam soal perpaduan, saling memahami serta menghormati kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, kemerdekaan negara mempunyai keunikan tersendiri kerana dicapai melalui rundingan dan persefahaman tanpa pertumpahan darah.

Katanya, pendekatan pemimpin terdahulu itu menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara yang memberi pengiktirafan serta perlindungan terhadap hak semua kaum dan agama melalui Perlembagaan Persekutuan.

“Berbeza dengan sesetengah negara lain, kemerdekaan kita dicapai melalui rundingan oleh pemimpin terdahulu yang mempunyai pandangan jauh, berlandaskan perpaduan, persefahaman serta sikap saling menghormati antara kaum, agama, bahasa dan budaya.

“Janji serta perkara yang dipersetujui dalam rundingan kemerdekaan kemudiannya dimasukkan dalam Perlembagaan negara dan terus menjadi asas kehidupan kita sehingga hari ini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2026 hari ini.

Vigneswaran berkata, sejarah pembentukan Malaysia turut memperlihatkan keupayaan rakyat dan pemimpin membina sebuah negara bersama walaupun berdepan kepelbagaian serta cabaran.

Ujarnya, pembentukan Malaysia melalui penyertaan Sabah dan Sarawak selepas sebelum itu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu membuktikan perjalanan negara sentiasa berkembang mengikut keadaan dan keperluan semasa.

“Walaupun berdepan pelbagai masalah, Malaysia terus berdiri kukuh di persada dunia kerana kita mengamalkan perpaduan, toleransi dan menghormati kaum serta agama lain.

“Generasi hari ini perlu memahami bahawa nilai-nilai inilah yang menjadi antara kekuatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat meneruskan legasi pemimpin terdahulu dengan mengutamakan perpaduan dan bekerja bersama untuk membawa Malaysia ke arah lebih maju.

Beliau turut mengingatkan supaya perbincangan berkaitan tiga perkara sensitif iaitu institusi Raja-Raja Melayu, agama dan kaum dilakukan secara berhati-hati serta dengan sikap saling menghormati.

“Jika kita terus berhati-hati dan menghormati antara satu sama lain dalam membincangkan perkara berkaitan institusi Raja-Raja Melayu, agama dan kaum, saya yakin negara akan terus melangkah maju dari segi keharmonian agama dan pertumbuhan ekonomi.

“Marilah kita menyambut Hari Kebangsaan ini dengan semangat bersama, menghormati agama, kaum dan budaya lain serta bersatu tenaga untuk memastikan negara terus berada di landasan pembangunan.

“Perpaduan kita adalah tanda kejayaan,” ujarnya.

Vigneswaran turut menyampaikan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here