SERDANG – Kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 menjadi tumpuan operasi pembenihan awan bagi menangani keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi berkenaan sedang dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Pihak NADMA bersama NRES dan TUDM sedang melakukan pembenihan awan di kawasan-kawasan yang dilanda jerebu terutamanya kawasan-kawasan yang IPU melebihi 150,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Laman Usahawan Desa sempena Pameran MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, operasi itu lebih penting untuk dilaksanakan di kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200.
“Apatah lagi di kawasan-kawasan yang berada di tahap 200 mata IPU. Ini wajib dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan turut mengambil kira keadaan paras air di empangan yang menunjukkan kemerosotan susulan cuaca kering.
“Kita tahu bahawa banyak empangan-empangan yang telah memperlihatkan kemerosotan tahap air di tasik-tasik berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, operasi pembenihan awan perlu dilaksanakan mengikut keperluan dan kesesuaian keadaan cuaca, terutama pergerakan awan.
Katanya, kewujudan awan sahaja tidak memadai kerana arah pergerakannya perlu dikenal pasti bagi memastikan operasi berkenaan menyasarkan kawasan yang memerlukan hujan.
“Biarpun ada awan tetapi arah mana awan itu pergi untuk menuju di suatu kawasan yang disasarkan,” katanya.
Setakat jam 12 tengah hari ini, data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Serian merekodkan IPU 399, diikuti Samarahan (332) dan Kuching (304), yang berada pada tahap berbahaya.
Sri Aman pula merekodkan bacaan 214, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.
Beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan tidak sihat, antaranya Sarikei (197), Sibu (190), Bintulu (183), Mukah (176), Samalaju (175), Kapit (161), Miri (159) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (156).
Untuk rekod, operasi pembenihan awan sedang dilaksanakan di Putrajaya, manakala Sarawak, Kedah dan Perlis dijadualkan menjadi lokasi operasi seterusnya antara 3 hingga 5 September ini. – MalaysiaGazette
















