KUCHING – Kawasan Serian mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tahap bahaya setakat 8 pagi ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencecah 364.
Selain itu, tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Samarahan (300), Kuching (291) dan Sri Aman (214).
Kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat pula antaranya ialah Sarikei (195), Sibu (187), Bintulu (179), Samalaju (171), Mukah (170), Kapit (159), Miri (155) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (151).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai bahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara. – BERNAMA
















